[VIDEO] Bersatu atau UMNO, Pas tidak boleh dipaksa memilih

Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita di kementeriannya pada Khamis.
Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita di kementeriannya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pas seharusnya tidak boleh dipaksa untuk memilih sama ada UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerjasama politik bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya tegas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, UMNO dan Bersatu perlu bermuafakat duduk semeja untuk mencapai kestabilan politik.

"Saya fikir tidak boleh bagi ultimate (kata dua) terhadap Pas, tapi kena tengok masa depan," katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Khamis.

Menurutnya, perbincangan antara UMNO dan Bersatu perlu dilakukan ke arah politik lebih baik.

"Pas bersedia bersama-sama untuk memperteguhkan penyatuan ummah dengan parti-parti utama dalam Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Bersatu yang menyifatkan UMNO musuh parti itu, beliau berkata:

"Saya fikir reaksi Bersatu itu kena tengok reaksi UMNO. Kalau satu pihak tepuk tangan ia tidak akan berbunyi," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, adalah suatu yang tidak mustahil sekiranya UMNO dan Bersatu menjalinkan kerjasama politik.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana di dalam Bersatu sebahagian besar pemimpinnya berasal UMNO.

"Kalau kira sejarah politik, Pas lebih lama berlawan dengan UMNO dibandingkan dengan Bersatu. Saya fikir ada ruang untuk duduk berbincang," katanya.

Dakwaan Pas memilih jalan selamat untuk bermain dalam dua 'kolam', Tuan Ibrahim berkata, soal itu tidak timbul kerana peranan yang paling penting adalah kestabilan politik.

"Kita berusaha untuk penyatuan," katanya.

Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Pas dijangka akan memuktamadkan hala tuju sama ada dengan UMNO atau PN dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu akan membuat pilihan minggu hadapan selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telahpun mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin.