Pengunjung teruja taman tema air Bukit Gambang dibuka semula

Pekerja Bukit Gambang Resort City melayan pelanggan.
Pekerja Bukit Gambang Resort City melayan pelanggan.
A
A
A

KUANTAN - Pembukaan semula taman tema air Bukit Gambang Resort City menghidupkan kembali aktiviti di pusat peranginan itu selepas dua tahun tidak beroperasi susulan pandemik Covid-19.

Tinjauan Sinar Harian di pekarangan kaunter jualan tiket kira-kira jam 2 petang mendapati terdapat beberapa pengunjung tempatan dan luar Pahang mula berkunjung ke taman tema air itu.

Pegawai Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Zuraina Nik Mohd Nor, 40, mengakui gembira apabila mengetahui taman tema air itu sudah mula beroperasi pada Khamis.

Menurutnya, pembukaan pusat itu diketahuinya selepas melihat iklan di laman sosial Facebook dua hari lalu.

"Hampir dua tahun ditutup saya memang kecewa juga kerana Bukit Gambang Resort antara satu-satu tempat mempunyai taman tema air di kawasan pantai timur yang terkenal dan berharap ia beroperasi semula.

"Tapi bila dapat tahu ia (taman tema air) di sini sudah dibuka saya seronok, teruja dan membawa anak-anak bercuti di sini," katanya yang menetap di Kota Bharu Kelantan.

Katanya, ini adalah peluang untuk ahli keluarga berkumpul selain menghidupkan semula sektor pelancongan yang terkesan sebelum ini.

Rosmiza (depan, dua kanan) teruja dengan pembukaan semula taman tema air di Bukit Gambang Resort.
Rosmiza (depan, dua kanan) teruja dengan pembukaan semula taman tema air di Bukit Gambang Resort.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengunjung, Rosmiza Mohamad, 47, dari Kuala Terengganu turut teruja dengan pembukaan semula taman tema air itu.

Jelasnya, lima anaknya terkesima apabila diajak datang ke sini selepas dua tahun tidak melancong di tempat seperti itu.

"Bila sampai di sini mereka bersorak dan sudah tidak sabar untuk mandi manda.

"Harga tiket pun murah berbanding sebelum ini, mungkin kerana beberapa kawasan sahaja dibenarkan untuk beriadah," ujarnya yang bekerja sendiri.

Pekerja Bukit Gambang Resort membantu memakaikan tiket pada tangan pengunjung.
Pekerja Bukit Gambang Resort membantu memakaikan tiket pada tangan pengunjung.

Sementara itu, Norifaidayu Zainal Abdin, 32, dari Kuantan memaklumkan kehadiran ke taman tema air itu bagi melihat suasana di samping beriadah bersama anak-anak.

"Dua tahun terperap di rumah, bila bawa anak ke sini mereka teruja kerana sudah lama tidak main air, lagipun dekat dengan rumah

"Lepas ini saya bercadang untuk datang ke sini bersama ahli keluarga lain," katanya.

Bagi penjawat awam, Siti Nur Ain Osman, 33, dia datang bercuti ke Kuantan dan terus ke taman tema air itu untuk bermain air bersama keluarga.

"Saya dapat tahu ini daripada kakak ipar yang tinggal di sini, jadi saya terus buat keputusan untuk beristirahat di sini.

"Walaupun banyak tempat permainan tidak dibuka, tetapi sekurang-kurangnya ada satu kawasan yang boleh anak-anak mandi sambil bermain," jelasnya yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

Seorang lagi pengunjung, Farah Azlina Osman, 37, turut teruja dengan pembukaan taman tema tersebut.

"Ini kali pertama datang sini, bila dah buka cuba datang untuk melihat suasana," luah penjawat awam itu secara ringkas.