'Tabung Haji sedang mengundur ke belakang'

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA NERUS - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengundur ke belakang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga kecewa apabila pihak terbabit sering mengungkit mengenai subsidi haji yang diperuntukkan semakin meningkat sehingga mengalih perhatian rakyat terhadap perkara yang lebih penting.

"Usah diungkit subsidi haji yang semakin meningkat kerana TH ditubuhkan untuk membantu umat Islam menunaikan haji menerusi tabungan bersama yang boleh menjana kewangan dan pelaburan.

"Jelaskan kepada rakyat sama ada apa yang berlaku ialah disebabkan susut nilai pelaburan atau pecah amanah. Jika pecah amanah, kerajaan PH perlu menyegerakan siasatan," katanya, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof mengumumkan kadar hibah bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus.

Kadar tersebut adalah yang terendah dalam sejarah TH.

Dalam pada itu, beliau turut kesal dengan kenyataan yang menimbulkan keraguan dari pihak pengurusan TH susulan pengumuman kadar hibah bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus.

"Jangan cabar pendeposit mengeluarkan simpanan mereka, bahkan sepatutnya galakkanlah mereka untuk terus melabur.

Artikel Berkaitan:

"Bukan hanya untuk menunaikan haji tetapi sebagai sokongan kepada institusi pelaburan terbesar umat Islam.

"Berikan kenyataan yang meredakan dan meyakinkan pelabur, bukannya kenyataan-kenyataan negatif menimbulkan keraguan.

"CEO (Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat) perlu berhemah apabila membuat kenyataan. Menteri sila beri panduan," katanya.