Derbi Kelantan: Buru kemenangan demi maruah di Kota Bharu

Barisan pemain Kelantan FC -Foto:TRW KELANTAN FC
Barisan pemain Kelantan FC -Foto:TRW KELANTAN FC
A
A
A

IMPIAN Kelantan FC untuk merangkul kejuaraan tampak mustahil menjelang aksi terakhir Liga Premier berdepan Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Namun di sebalik itu, tonggak tengah Kelantan, Dzulfahmi Abdul Hadi, melihat pertembungan dengan jiran tetangga itu sebagai medan menebus maruah pasukan yang perlu diakhiri dengan noktah kemenangan.

Jelasnya, dia mahu bersikap realistik memandangkan jurang jaringan yang terlalu besar dengan JDT II sekali gus menyebabkan Dzulfahmi dan rakannya hanya mahu memberikan fokus mahu meraih tiga mata dalam pertembungan tersebut.

“Kejuaraan bukan lagi menjadi keutamaan kami kerana sememangnya sangat sukar memintas JDT II berikutan perbezaan jaringan yang terlalu jauh, selain terpaksa mengharapkan kekalahan JDT II kepada Selangor 2.

“Kami telah menerima hakikat walaupun secara matematiknya masih ada peluang dan apa yang penting sekarang, kami kena bersikap terbuka dengan apa yang terjadi sebagai pengalaman berguna pada masa depan.

“Saya dan rakan-rakan hanya mahu mencari kemenangan demi maruah Kelantan apabila menentang Kelantan United kerana ini pertembungan derbi yang menjadikan suasana perlawanan pasti berlainan.

“Pertembungan ini pasti menarik perhatian ramai penyokong untuk turun ke stadium dan sudah tentu kedua-dua pasukan akan sajikan permainan terbaik bagi memenangi perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan perlu memadamkan defisit 11 jaringan selepas JDT II meledak 37 gol berbanding Kelantan 26, dengan kedua-dua pasukan dibolosi 13 jaringan selain wajib menang ke atas Kelantan United manakala mengharapkan JDT II tewas kepada Selangor FC 2 pada perlawanan terakhir.

Artikel Berkaitan:

JDT II akan berdepan Selangor 2 pada perlawanan terakhir di Stadium UiTM, Shah Alam dan peluang tampak dilihat sangat cerah buat skuad kendalian Mariano Echeverria menjulang trofi Liga Premier.

Bakal bersaing di Piala Malaysia 2022, Dzulfahmi mahu menjadikan platform itu sebagai medan terbaik menaikkan semula nama The Red Warriors apabila bakal bersaing dengan pasukan-pasukan lebih besar dari Liga Super.

Tegasnya, pasukan pantai timur itu mahu memandang ke hadapan sambil tidak mahu jadikan memori pahit gagal menjulang kejuaraan Liga Premier sebagai batu halangan untuk mencipta impak di Piala Malaysia.

“Boleh saya katakan rezeki tidak berpihak kepada Kelantan untuk bergelar juara Liga Premier musim ini walaupun kami mendahului carta liga pada sebahagian besar musim ini.

“Kecederaan para pemain utama termasuk import telah menjejaskan peluang kami sebaik masuk di pusingan kedua liga bagi terus konsisten meraih kemenangan.

“Sekarang fokus kami sudah banyak terarah pada kempen Piala Malaysia dan harapan kami boleh melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir.

“Ini juga peluang buat Kelantan merasai pengalaman berdepan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat dan sebelum kami bakal bersaing di Liga Super pada musim depan,” katanya.



JADUAL LIGA PREMIER

JUMAAT (30 SEPTEMBER)

Kelantan United lwn Kelantan FC

(Std Sultan Muhammad IV, 9 malam)

Selangor FC 2 lwn JDT II

(Std UiTM, 9 malam)