Pengundi mahu idea baharu, tawaran pemimpin lama tak laku

Yee Mun ketika menjadi panelis Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ pada Khamis.
Yee Mun ketika menjadi panelis Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat trend bahawa pengundi mahu Malaysia dipimpin oleh muka-muka baharu kerana lebih cenderung terhadap tawaran dan idea baharu daripada pemimpin lebih muda.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pusat Kajian Sosial & Polisi, Tun Tan Cheng Lock, UTAR, Profesor Madya Dr Chin Yee Mun, berdasarkan dapatan kajian Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15.

Menurutnya, data-data menunjukkan responden mahukan pemimpin muka baharu yang dapat membawa negara ke hala tuju baharu.

“Ini mungkin satu refleksi pengundi kita yang telah matang. Matang dalam erti kata pandai memilih.

“Berdasarkan apa yang ditawarkan pemimpin lama mungkin tidak dapat penuhi kehendak mereka.

“Ada trend pengundi akan lebih tertarik pada pemimpin yang dapat berikan mereka idea baru dan pengundi rasa penting untuk masa depan negara,” katanya ketika menjadi panelis Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Progam dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar dan Fahiz Ariff itu turut menampilkan Pengarah Eksekutif ILHAMCentre, Hisommudin Bakar dan Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi sebagai panelis.

Artikel Berkaitan:

Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 merupakan kaji selidik yang dijalankan oleh ILHAM Centre, O2 Research dan Centre for Malaysian Chinese Studies dengan kerjasama lima organisasi media iaitu Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star, Astro AWANI dan Malaysia Nanban bermula pada 19 September hingga 9 Oktober depan.

Dalam pada itu, Yee Mun berkata, tidak dinafikan dalam kajian kaji selidik menerusi platform dalam talian, wujud gerakan kelompok laskar siber (cyber trooper) yang akan menjejaskan dapatan kajian.

Namun, perkara itu boleh diatasi dengan mengenal pasti adakah wujud jawapan daripada ‘IP Address’ yang sama.

“Kita perlu kesan sama ada jawapan daripada IP yang sama jadi kalau dapat kesan, kita boleh padamkan jawapan-jawapan yang kita anggap mungkin daripada kelompok ini atau bukan daripada responden yang asli,” katanya.

Beliau juga mendedahkan cabaran yang dihadapi bagi mendapatkan respon jelas daripada responden Cina yang dikategorikan sebagai ‘perahsia’.

“Pengalaman kami, pengundi Cina agak berahsia. Tapi kita cuba mendapatkan jawapan walaupun sukar. Berdasarkan pengalaman lepas, sampel yang ditetapkan akan dapat dicapai,” katanya.