Sukan satu kerjaya, mampu beri pendapatan lumayan

Muhammad Nasir (tiga dari kiri) membunyikan hon sebagai bermulanya pertandingan tarik tali pada Kejohanan Olahraga & Sukaneka ke-31 Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Luas di SK Padang Luas, di sini pada Khamis.
Muhammad Nasir (tiga dari kiri) membunyikan hon sebagai bermulanya pertandingan tarik tali pada Kejohanan Olahraga & Sukaneka ke-31 Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Luas di SK Padang Luas, di sini pada Khamis.
A
A
A

PELAJAR boleh menjadikan sukan sebagai satu kerjaya pada masa depan kerana bidang tersebut mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka bergelar atlet bertaraf profesional.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, tidak ramai yang sedar bahawa sukan juga boleh menjamin masa depan cerah dengan syarat ia harus dilakukan dengan betul.

“Jadi, saya sarankan pelajar beri tumpuan dan perhatian kepada cita-cita mereka bermula dari sekarang. Jika mahu jadi atlet profesional, usahakan dan anak-anak boleh pergi jauh kerana kita ada sekolah sukan.

“Bagaimanapun, jangan abai pendidikan kerana apa juga kerjaya diceburi harus seiring dengan pencapaian akademik,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Olahraga & Sukaneka ke-31 Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Luas di SK Padang Luas, di sini pada Khamis.

Muhammad Nasir (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan di SK Padang Luas.
Muhammad Nasir (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan di SK Padang Luas.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Besut, Rozaidi Abd Majid, Pegawai Perhubungan Sekolah PPD Besut, Dr Nor Azmee Abdullah, Guru Besar SK Padang Luas, Zuhaidi Othman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Padang Luas, Fahimi Zakaria.

Kejohanan tersebut diadakan selama tiga hari bermula Selasa dengan 36 acara olahraga dan sukaneka dipertandingkan melibatkan penyertaan semua murid termasuk prasekolah serta Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI)

Menurut Muhammad Nasir, usaha sekolah menganjurkan pertandingan olahraga dan sukan wajar dipuji kerana ia merupakan salah satu langkah untuk mencungkil bakat terpendam dalam diri pelajar yang boleh diasah serta ditonjolkan.

Artikel Berkaitan:

“Kemahiran sukan yang ada pada pelajar boleh dipupuk lebih awal supaya sukan tidak hanya dilihat sebagai satu permainan sekadar suka-suka tapi sebaliknya menjadi sumber pendapatan.

“Antara nama ikon besar sukan di Malaysia yang boleh dicontohi dan dijadikan idola adalah Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Azizul Hasni Awang, Datuk Rashid Sidek dan Safawi Rasid,” katanya.

Muhammad Nasir (berdiri, tengah) bersama guru, kakitangan dan ibu bapa SK Padang Luas bergambar kenangan selepas berakhir pertandingan tarik tali.
Muhammad Nasir (berdiri, tengah) bersama guru, kakitangan dan ibu bapa SK Padang Luas bergambar kenangan selepas berakhir pertandingan tarik tali.

Pada majlis itu, Muhammad Nasir yang merupakan bekas pelajar SK Padang Luas turut berkongsi tips kejayaan dalam hidup bersama murid-murid dengan mengamalkan tiga perkara pada setiap hari.

Tiga perkara itu kata beliau adalah rajin membaca Al-Quran walau satu surah, wajib menunaikan solat sebagai pendinding dan kekuatan diri serta selalu berinfaq sama ada dalam bentuk kewangan mahupun tenaga.

“Selain belajar bersungguh-sungguh, amalkan tiga perkara ini pada setiap hari serta jadikan amalan memeluk ibu bapa pada setiap pagi sebagai rutin agar hidup kita diberkati,” katanya.