AS, sekutu tingkatkan pemantauan risikan senjata nuklear Rusia

No Image Caption
A
A
A

MOSCOW - Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya kini meningkatkan pemantauan ke atas senjata nuklear Rusia, susulan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Moscow sejak kebelakangan ini, lapor Sputnik.

"Kami memantau lebih rapi,” menurut pegawai yang mempunyai akses kepada maklumat risikan ke atas kuasa nuklear Moscow memetik laporan akhbar Politico pada Selasa.

AS dan sekutunya telah meningkatkan usaha mengumpul dan menganalisis data mengenai senjata nuklear Rusia di unit-unit udara, angkasa dan ruang siber, menurut pegawai berkenaan.

Perisik Barat sedang menilai sama ada Rusia berkemungkinan menggunakan senjata nuklear di Ukraine. Jurucakap Pemerintah Strategik AS memberitahu Politico bahawa kumpulan itu "sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk bertindak balas jika diperlukan," menurut laporan itu.

Minggu lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin mengerakkan sebahagian daripada anggota tentera simpanannya untuk menyokong operasi ketenteraan Rusia di Ukraine, dan memberi amaran bahawa Moscow akan menggunakan 'semua cara' jika integriti wilayahnya terancam.

Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia Dmitry Medvedev pada Selasa berkata Rusia akan melakukan segala-galanya untuk menghalang jiran yang bermusuhan, termasuk Ukraine, daripada mendapatkan senjata nuklear.

Pegawai itu percaya bahawa NATO tidak akan campur tangan secara langsung dalam konflik Ukraine memandangkan ahli politik AS dan Eropah 'tidak mahu mati dalam malapetaka nuklear yang dahsyat.' - Bernama

Artikel Berkaitan: