608 masjid Kelantan digred tahun depan

Simbolik penyerahan zakat oleh Nor Haimee (dua dari kiri) kepada Tengku Tan Sri Mohamad Rizam (dua dari kanan) pada Rabu.
Simbolik penyerahan zakat oleh Nor Haimee (dua dari kiri) kepada Tengku Tan Sri Mohamad Rizam (dua dari kanan) pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan memulakan program penarafan 608 masjid mukim di seluruh negeri ini pada tahun depan.

Yang Dipertua Maik, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, langkah memberikan taraf atau gred kepada masjid-masjid itu bertujuan memastikan pegawai masjid terus berkredibiliti tinggi dan cekap dalam isu pentadbiran serta pengurusan masjid.

Katanya, antara kriteria utama yang akan diambil kira dalam penilaian penarafan masjid itu termasuk kecekapan pengurusan kewangan dan tahap kebersihan masjid yang diuruskan oleh pihak tersebut.

“Mulai tahun 2023 masjid akan diberikan taraf umpamanya macam hotel. Ada tiga bintang, empat bintang dan lima bintang.

“Ada kriteria-kriteria untuk dinilaikan pada sesebuah masjid mukim dan mereka mereka harus bersaing untuk menaikkan taraf masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Kewangan dan Intergriti Masjid Negeri, Bandar dan Jajahan Negeri Kelantan serta Penyerahan Zakat Bank Rakyat 2022 berjumlah RM600,312 di Hotel Grand Renai, di sini, pada Rabu.

Zakat diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria.

Beliau berkata, dengan cara penarafan masjid yang sedemikian, Maik berharap kualiti di tiap-tiap masjid di Kelantan akan dipertingkatkan lagi dari tahap memuaskan ke tahap yang lebih tinggi.

Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad (kiri) antara yang menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Tengku Tan Sri Mohamad Rizam (kanan). Foto SINAR HARIAN
Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad (kiri) antara yang menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Tengku Tan Sri Mohamad Rizam (kanan). Foto SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan:

“Semua kualiti-kualiti yang dikehendaki oleh pihak akan disatukan dalam program penilaian ini yang akan dibuat secara berperingkat-peringkat di semua 608 masjid mukim.

“Dengan cara ini, pihak masjid juga akan lebih jelas dengan elemen kualiti yang dikehendaki oleh Maik daripada sesebuah masjid,” katanya.

Sementara itu, 72 imam tua dan imam muda masjid di seluruh negeri ini menerima sijil penyertaan Kursus Pengurusan Kewangan dan Intergriti menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam berkata, program dimulakan sejak tahun 2018 bagi memberi melengkapkan pihak masjid dengan pengurusan kewangan berintergriti dan mematuhi undang-undang.