Mahkamah lanjut gantung pembangunan Hutan Simpan Bukit Cherakah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi pada Rabu membenarkan permohonan dua badan bukan kerajaan (NGO) untuk melanjutkan penggantungan sementara tindakan kerajaan negeri Selangor yang membenarkan pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah di sini.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) berkata, Hakim Shahnaz Sulaiman memutuskan demikian pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

"Mahkamah telah melanjutkan perintah penggantungan sementara itu sehingga pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang ditetapkan pada 19 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 3 Ogos lepas, Peka dan SACF memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan kerajaan negeri Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.

Sementara itu, Rajesh berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan Restu Mantap Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menjadi pencelah dalam kes itu bersama-sama YCH Development yang telah menjadi pencelah.

Pada 11 Ogos lepas, mahkamah membenarkan permohonan dua NGO itu untuk menggantung sementara tindakan kerajaan negeri Selangor itu sehingga hari ini.

Kedua-dua NGO itu mencabar keputusan responden atas alasan, kesemua pihak terbabit tidak rasional membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar itu melalui pelaksanaan keputusan yang telah dibuat 22 tahun lepas selain menyifatkannya sebagai ‘lapuk.’

Mereka juga memohon pengisytiharan mengenai keperluan untuk mengadakan siasatan awam berkaitan pembangunan hutan simpan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 11 dan 12 Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011. - Bernama

Artikel Berkaitan: