Pembangunan Hutan Simpan Bukit Cherakah digantung sementara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi pada Khamis membenarkan permohonan dua badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk menggantung sementara tindakan kerajaan Selangor membenarkan pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) berkata, Hakim Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis.

"Mahkamah juga menetapkan 28 September ini untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh dua pertubuhan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Minggu lepas, Peka dan SACF memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling pada 20 November 2000 untuk menyahwartakan hutan simpan itu.

Mereka menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.

Kedua-dua NGO berhasrat mencabar keputusan responden atas alasan adalah tidak rasional untuk kesemua pihak terbabit membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar itu melalui pelaksanaan keputusan yang telah dibuat 22 tahun lepas selain menyifatkannya sebagai ‘lapuk.’

Mereka juga memohon pengisytiharan mengenai keperluan untuk mengadakan siasatan awam berkaitan pembangunan hutan simpan itu seperti yang termaktub di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011. - Bernama