Saksi dedah RM2.08 bilion masuk akaun Najib pada 2013

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, terdapat sembilan transaksi kemasukan wang ke akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak, berjumlah RM2.08 bilion pada Mac dan April 2013.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, wang berkenaan dimasukkan ke akaun AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib berakhir nombor 969-4 (AM Private Banking MR) bermula 22 Mac hingga 10 April 2013.

Menurutnya, nilai tertinggi ialah pada 10 April 2013 (RM602 juta) manakala terendah pada 28 Mac 2013 (RM138,824,962.98).

“Saya sahkan kemasukan wang ke akaun ini sepertimana penyata akaun AmIslamic Bank Berhad bertarikh 14 April 2013 yang dirujuk kepada saya.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen itu telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam.

Wang itu berkaitan dengan tuduhan ketiga terhadap Najib, iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.08 bilion.

Empat bulan kemudian, terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang daripada akaun AM Private Banking MR itu, sebanyak RM2,034 bilion.

Artikel Berkaitan:

Pada 2019, dalam penyataan pembukaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, pendakwaan berkata, antara 21 Mac hingga 10 April 2013, Syarikat Tanore Finance Corporation (Tanore Singapura) memindahkan AS$681 juta ke akaun tertuduh.

Sri Ram berkata, mengikut mata wang Malaysia, ia berjumlah RM2,081,471,926.

Jumlah ini menjadi perkara utama dalam pertuduhan ketiga yang dihadapi Najib.

Dalam prosiding pada Isnin, mahkamah juga diberitahu bahawa RM2,034,350,000 dikeluarkan dari akaun Najib antara 2 hingga 23 Ogos 2013 menerusi lima transaksi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Najwa, Uma Devi berkata, hanya Najib mendapat keistimewaan untuk menukarkan akaunnya dengan nombor berakhir 694 dan 889 kepada kod selepas mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan atasan bank.

Katanya, pemimpin UMNO itu juga bertanggungjawab terhadap akaun berkenaan seperti termaktub pada terma pembukaan akaun.

“Hanya Pengurus Perhubungan dan Pengurus Cawangan bank boleh mendapatkan akses kepada akaun berkenaan,” katanya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.