UMNO Terengganu tetap lawan Pas pada PRU15

Nawi Mohamad
Nawi Mohamad
A
A
A

BESUT - Biarpun pelbagai polemik timbul berhubung status kerjasama antara UMNO dan Pas, UMNO Terengganu kekal dengan pendirian untuk bergerak solo dan memutuskan tidak bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, pendirian itu diputuskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan dipersetujui sebulat suara oleh barisan kepimpinan parti negeri itu.

"Di Terengganu, pendirian kita setakat ini tidak berubah. Kita masih dengan ketetapan yang diputuskan sebelum ini di mana UMNO Terengganu memutuskan untuk bertanding secara solo. Tiada kerjasama dengan Pas.

"Tiada istilah Muafakat Nasional (MN) di Terengganu. Sebelum ini, kita ada MN tetapi selepas Pas berbaik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MN di Terengganu telah lama 'terkubur'," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Nawi, biarpun Pas mengisytiharkan UMNO bukan lawan dan musuh pada PRU15, parti itu kekal dengan keputusan untuk bergerak solo dan akan menjalankan kempen secara solo di Terengganu.

"Bila berkempen pada PRU nanti kita akan kempen untuk BN sahaja. Tiada lagi kerjasama dalam politik bersama Pas.

"Walaupun begitu, ia bergantung kepada keputusan di peringkat pusat. Kita akan akur sekiranya ada perubahan yang diputuskan dan dipersetujui pucuk pimpinan tertinggi UMNO," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, katanya, ia bergantung kepada keputusan parti.

Artikel Berkaitan:

"Tidak semestinya saya dilantik sebagai calon, tetapi apa yang kita perjuangkan ialah kita mahukan kerajaan yang stabil, pelaburan kerja terbuka kepada anak-anak Terengganu.

"Kita lihat banyak hal berkaitan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional merugikan kita," katanya.

Mengulas cabaran Pas akan melawan UMNO di Pahang dan Perlis sekiranya UMNO masih berdegil untuk bertembung di Terengganu dan Kelantan, Nawi menegaskan UMNO perlu kekal dengan pendirian untuk bergerak sendiri.

"Bila mereka isytihar begitu, UMNO Pahang dan Perlis perlu bersedia untuk tiada lagi MN bersama Pas di negeri itu.

"Di Terengganu, Pas akan lawan BN, BN akan lawan Pas. Kita yakin PRU ini kita mampu menangi hati rakyat kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor membuktikan rakyat telah mula balik dan menyokong kita semula termasuklah di Terengganu," katanya.

Pada 20 September lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan rasmi berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15.

Katanya, Pas tetap menegaskan bahawa musuh sebenar agenda penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya termasuk ‘khemah besar’.