'Chin Tong perlu nasihat rakan di Selangor soal banjir'

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong sepatutnya menasihati ‘rakannya’ di Selangor berhubung projek tebatan banjir di negeri itu daripada sibuk mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas kepada BN Johor.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, adalah tidak adil apabila menyatakan BN meneruskan 'mengambil tindakan seperti kebiasaan' apabila menangani isu banjir dan perubahan iklim, sedangkan ia adalah respons pantas BN dalam menangani masalah banjir kilat di Johor.

“Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) telah umumkan pelbagai tindakan seperti menaiktaraf pam air sedia ada, membina pam air baharu, menambah pembinaan ‘wier’ di kawasan hulu, membina tembok penahan banjir manakala kerja pelebaran dan mendalamkan sungai juga dijalankan.

“Maka, tidak adil untuk Chin Tong menuduh kerajaan Johor meneruskan 'mengambil tindakan seperti kebiasaan' sedangkan tindakan-tindakan yang disebut adalah langkah pantas untuk mengurus situasi mencabar dengan krisis iklim. Ini bukan tindakan ‘budaya berniaga’.

“Daripada mendakwa kerajaan Johor lembap sedangkan fakta sebaliknya, lebih baik dia nasihatkan kawannya di negeri lain seperti kerajaan Selangor yang mana projek tebatan banjir pun diselubungi dakwaan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Chin Tong yang mendakwa kerajaan Johor meneruskan 'mengambil tindakan seperti kebiasaan' apabila menangani isu banjir dan perubahan iklim.

Pada Ahad, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengarahkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mencari penyelesaian banjir kilat di lokasi tumpuan.

Pada masa sama, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan meningkatkan persediaan menghadapi musim banjir, termasuk menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam unit di Rumah Pam Sungai Chat.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan dua unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu, iaitu di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin.

Onn Hafiz juga mengumumkan pembinaan wier di kawasan hulu serta melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).