Merengek rindu ibu sudah tiada

Che Sakri mendodoi anak bongsunya di dalam buaian sambil meriba anak keduanya.
Che Sakri mendodoi anak bongsunya di dalam buaian sambil meriba anak keduanya.
A
A
A

TUMPAT - Kerinduan tiga anak terhadap ibunya yang sudah meninggal dunia lapan hari lalu tidak tertanggung apabila setiap malam anak- anak kecil itu merengek meminta dipeluk ibunya.

Lebih menyayat hati, anak bongsu berusia dua tahun, Che Mohd Syazwan Che Sakri yang masih menyusu badan ketika hayat ibunya, meraba- raba dada bapanya apabila mahu menyusu.

Che Sakri Che Ahmad, 39, dari Kampung Pulau Besar berkata, setiap kali melihat kelakuan anak bongsunya itu hatinya sebak.

“Besar sungguh ujianMu Ya ALLAH, isteri saya dijemput Ilahi di usia 34 tahun kerana penyakit hati ketika anak-anak kami tiga orang masih kecil lagi.

“Jika itu ketentuanNya, saya reda membesarkan anak-anak bersendirian.

“Anak bongsu saya juga anak istimewa, OKU perkembangan fizikal lambat,” katanya.

Dua anaknya lagi ialah Che Nor Syuhaida, 8 dan Che Mohd Syarhan, 4.

Tiga anak ini bukan sahaja diuji kehilangan ibu, tetapi mereka juga pengidap penyakit kulit dan Sinar Harian pernah disiarkan penderitaan mereka tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Che Sakri berkata, ketiga-tiga anaknya akan menggaru badan setiap masa kerana gatal.

Katanya, ketika isterinya masih ada, dia bergilir- gilir berjaga malam kerana tidur anaknya terganggu kerana gatal.

“Sekarang ini semuanya saya perlu lakukan sendiri, hantar anak ke sekolah, bancuh susu botol, tidurkan anak.

“Namun, saya bersyukur masih tinggal dengan ibu mertua, Saudah Sulong,70. Dia banyak membantu walaupun dia sudah uzur,” katanya.

Che Sakri seorang tukang rumah namun sudah setahun tidak bekerja kerana masalah kesihatan isteri dan tiga anaknya.

Katanya, wang banyak dihabiskan untuk rawatan penyakit kulit tiga anaknya itu sedangkan dia tiada pendapatan tetap.

“Sekarang ini makin sukar mahu tinggalkan anak untuk keluar bekerja sebabnya yang bongsu ini meragam, “ katanya.

Bagi individu yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Che Sakri BSN 0301141000113953 atau hubunginya di talian 0139247799