Ada penyelesaian RM2.83 bilion antara AmBank, kerajaan: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurus cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa terdapat penyelesaian RM2.83 bilion antara AmBank dan kerajaan Malaysia berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

R Uma Devi berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, dia tidak tahu sama ada penyelesaian berkenaan adalah melibatkan Ahli Parlimen terbabit.

Semasa disoal sama ada dia tahu mengenai isu itu, Uma Devi, 43, berkata, penyelesaian isu itu telah dilakukan oleh AmBank namun butiran mengenai perkara terbabit tidak diketahui.

“Kami hanya diberitahu bahawa AmBank telah membuat penyelesaian kepada kerajaan untuk tidak terlibat dalam mana-mana isu 1MDB.

“Itu sahaja yang saya tahu, saya tidak tahu butiran secara terperinci,” katanya.

Wan Aizuddin: Penyelesaian itu semata-mata berhubung dengan 1MDB, tiada kaitan dengan akaun Najib?

Uma Devi: Saya tidak pasti.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Februari 2021 lalu, Sinar Harian melaporkan, Kementerian Kewangan mengumumkan AMMB Holdings Berhad (AmBank Group) telah bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion.

Penyelesaian dibuat bagi menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan penglibatan Kumpulan AmBank dalam isu 1MDB.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, penyelesaian global terbaharu itu ialah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam melakukan tuntutan kembali terhadap semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu.