PRU15: Tak timbul isu kos tinggi, jika tunggu habis penggal

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Tidak akan timbul isu negara terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika kerajaan menunggu sehingga habis penggal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara paling terbaik yang harus menjadi keutamaan ketika ini ialah soal bagaimana membantu rakyat.

"Kalau ikutkan bukan saja negeri di bawah Pakatan Harapan (PH), tapi di bawah Perikatan Nasional (PN) pun memilih untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika PRU15 diadakan tahun ini.

"Kalau kita tahu ia melibatkan kos tinggi kenapa kita tak patuh saja sehingga tempoh lima tahun. Cukup lima tahun, kita buatlah pilihan raya, kenapa perlu disegerakan," katanya pada sidang akhbar akhbar selepas hadir pada majlis Apresiasi Sempena Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri (Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berpendapat pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat tidak serentak bukan sahaja meningkatkan kos PRU15 hampir RM2 bilion, malah menyusahkan rakyat.

Ujar Aminuddin, semua pihak sepatutnya memahami situasi negara yang kini berdepan masalah ekonomi serta berdepan kemungkinan berlaku musim tengkujuh.

Tambahan pula katanya, bukannya ada isu untuk mana-mana pihak menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Lebih baik kita tunggu sehingga habis penggal. Itu pandangan saya yang saya rasa turut menjadi sebahagian pandangan rakyat terhadap apa yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Daripada kita sibuk fikir bila PRU15 nak diadakan, lebih baik kita fikir bagaimana mahu membantu rakyat," katanya.

Dalam pada itu ditanya berkenaan persiapan banjir, Aminuddin berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi telah pun membuat persiapan termasuk menyediakan bilik gerakan banjir.

Ujarnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor bagi membincangkan bentuk bantuan boleh dilaksanakan jika bencana itu tidak berlaku serentak di semua negeri.

"Pakatan Harapan (PH) juga sedang mengumpul sukarelawan golongan muda untuk bertugas jika bencana itu berlaku," katanya.