KKM lulus RM1.6 juta bina klinik sementara di Parit Baru

Khairy
Khairy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan kecemasan berjumlah RM1.6 juta untuk pembinaan klinik sementara di Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor susulan Klinik Kesihatan di kawasan itu musnah akibat kebakaran pada 13 Sept lepas.

KKM menerusi ciapan di Twitter hari ini memaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah melawat klinik kesihatan berkenaan dan pembinaan klinik sementara itu dijangka siap dalam tempoh 10 minggu.

"Antara bahagian yang teruk terjejas adalah bilik MO (medical officer), Jabatan Pesakit Luar, farmasi, makmal, ruang menunggu farmasi serta klinik ibu dan anak," menurut ciapan itu.

Sementara itu, Khairy menerusi akaun Twitternya mengumumkan, peruntukan RM481,000 telah diluluskan bagi pembinaan semula Klinik Desa Sepintas di Batu 4, Sabak Bernam, yang turut musnah akibat kebakaran, pada 21 September lepas.

"Di bawah peruntukan dan perolehan darurat, saya meluluskan RM481,000 untuk pembinaan semula Klinik Desa ini dengan serta-merta demi keselesaan penduduk," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: