Tun M harus muhasabah diri: Ahmad Zahid

Tangkap layar hantaran Ahmad Zahid di f Facebook beliau pada Isnin.
Tangkap layar hantaran Ahmad Zahid di f Facebook beliau pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad harus muhasabah diri apabila mendakwa kerajaan campuran sedia ada tidak memiliki pakar yang dapat mengatasi masalah ekonomi, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, Tun M yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air perlu melihat semula apa yang berlaku kepada ekonomi negara selepas 9 Mei 2018 sepanjang Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau selaku Perdana Menteri ketujuh.

"Selepas setahun PH memerintah kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi lebih rendah. Banyak perniagaan ditutup menyebabkan ramai hilang pekerjaaan.

"Dana-dana seperti Petronas, Khazanah Nasional dan Tabung Haji menyusut. Indeks Bursa pernah jatuh 300 mata ke bawah 1,600. Negara kembali bergantung terhadap rizab petroleum," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun M pada Ahad yang mendakwa kerajaan ketika ini tidak mempunyai pakar untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi negara.

Ahmad Zahid menjelaskan, ketika pemerintahan PH juga aset strategik negara dijual untuk menampung perbelanjaan selain kerajaan tidak mesra pembangunan infrastruktur dan gagal menjaga hubungan diplomatik yang signifikan bagi ekonomi negara.

Menurut beliau, dasar ekonomi Malaysia yang progresif berubah menjadi regresif mengundur ke belakang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, bantuan kebajikan rakyat dikurangkan serta paling menyakitkan hati, rakyat diminta berkorban dan ikat perut.

"Kerajaan BN yang progresif berjaya meletakkan kadar hutang negara serendah 50.9 peratus berbanding KDNK pada Jun 2017 sedangkan zaman Mahathir pada 1980an pernah mencecah 103 peratus.

"Agensi penarafan antarabangsa Flitch Rating, Standard & Poor dan Moody's Investors Service meletakkan ekonomi Malaysia stabil dan berada di tahap yang baik di bawah kerajaan BN yang progresif," ujar beliau.

Ahmad Zahid memberitahu, dakwaan Tun M juga ibarat menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri kerana anggota kabinet mengendalikan portfolio berkaitan pemulihan ekonomi ketika ini bekas anggota kabinetnya.

"Nama-nama yang sama berada dalam kabinetnya semasa beliau mengetuai kerajaan PH selama 22 bulan seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mustapa Mohamed," katanya.

Ahmad Zahid menambah, Tun M juga senada dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila 'menyerang' kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kedua-duanya dapat dilihat amat mengidam mahu kembali sebagai Perdana Menteri walaupun terbukti gagal selepas pernah diberi peluang sebelum ini.

"Mungkin terdesak gara-gara takutkan bayang-bayang sendiri kerana apa telah mereka lakukan terhadap lawan politik yang dikhuatiri boleh menggugat kepentingan mereka," kata beliau lagi.

Ahmad Zahid menegaskan, amat sukar untuk Malaysia mempercayai janji kitar semula atau 'recycle' Tun M bahawa beliau akan hanya jadi Perdana Menteri bagi tempoh yang singkat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"PRU14 beliau berjanji hanya jadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun sebelum menyerah jawatan kepada salah seorang sekutunya, namun semua tahu apa yang telah terjadi.

"Negara jadi kacau-bilau menyebabkan BN perlu masuk campur bagi memastikan kelangsungan pentadbiran melalui pembentukan kerajaan sementara.

"Nasib kerajaan dan rakyat di Malaysia ini bukanlah bahan uji kaji seperti yang dilakukan oleh mereka ketika memerintah sebelum ini," ujar Ahmad Zahid.

Justeru, kata beliau, Tun M dengan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri ketujuh yang gagal dan Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sama-sama tidak layak untuk membuat dakwaan seperti itu.