Pemimpin UMNO Johor perlu berani tangguh PRU15 musim banjir

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemimpin UMNO Johor seharusnya berani menyuarakan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan ketika musim tengkujuh susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negeri ini pada Ahad.

Pengarah Strategi, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pemimpin UMNO seperti Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Setiausaha Agong, Datuk Seri Ahmad Maslan perlu menyuarakan perkara itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak mendesak PRU15 disegerakan.

"Adakah pemimpin UMNO dari negeri Johor seperti Khaled Nordin dan Ahmad Maslan akan menyatakan pendirian secara terbuka mewakili penduduk Johor yang terkesan dengan kejadian banjir bagi menangguhkan hasrat Presidennya mengadakan pilihanraya tahun ini?.

"Ia mengambil kira kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tarikh pilihan raya akan bergantung kepada mesyuarat UMNO pada 30 September ini," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menambah kejadian banjir kilat yang berlaku pada Ahad memberi gambaran bahawa persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan perlu dilakukan di setiap negeri termasuk Johor.

"Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa peralihan monsun hanya akan berlaku pada bulan Oktober dan Monsun Timur Laut pada November, namun persiapan menghadapi kemungkinan bencana dan keadaan luar jangka hujung tahun ini perlu dibuat.

"Selain lima Parlimen di dearah Johor Bharu (Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Tebrau), kejadian banjir turut berlaku di daerah Pontian dan daerah Muar menyebabkan ada mangsa-mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Saya difahamkan penduduk di enam buah kampung di sekitar Kayu Ara Pasong, Pontian menyifatkan kejadian banjir kilat semalam antara terburuk yang pernah mereka alami sejak 30 tahun lalu," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: