Peraturan dikaji percepat proses pembahagian harta pusaka

Takiyuddin (tiga dari kanan) bersama Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub (tiga dari kiri) melancarkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka peringkat negeri hari ini. - Foto Bernama
Takiyuddin (tiga dari kanan) bersama Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub (tiga dari kiri) melancarkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka peringkat negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Satu peraturan di bawah Pindaan Akta Harta Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] sedang dikaji oleh Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan pembahagian harta pusaka dapat diproses dengan segera.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara kajian itu ialah memperkenalkan penyelesaian secara dalam talian.

Menurut beliau, kajian berkenaan diharap selesai tahun ini supaya kes tertunggak melibatkan harta alih (seperti bangunan, rumah) dan harta tak alih (seperti kereta, motosikal) dapat diselesaikan.

"Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) menerima secara purata tahunan sekitar 60,000 kes baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub; Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Zamri Ismail.

Takiyuddin memberitahu, peraturan berkenaan turut memberi peluang kepada waris menyelesaikan harta alih dengan yuran lebih murah iaitu 0.02 persen daripada nilai harta itu.

"Mereka yang tidak berkemampuan juga boleh menyelesaikan masalah ini melalui yuran yang dikenakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kesedaran dalam masyarakat terhadap pembahagian pusaka tidak begitu tinggi kerana bimbang dikatakan gila kuasa dan tidak sensitif kepada ahli keluarga yang meninggal dunia.

"Sebenarnya agama kita menggalakkan dipercepatkan pembahagian harta pusaka bagi mengelakkan individu lain mengambil peluang secara salah ke atas harta itu," katanya.

Tambah beliau, kerajaan mungkin akan menetapkan had masa kepada ahli keluarga si mati untuk menyelesaikan perkara itu.

"Contohnya, kalau tak selesai dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, mereka mungkin dikenakan denda," katanya.

Takiyuddin memberitahu, Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka sudah menjelajah ke beberapa negeri untuk menyelesaikan kes harta pusaka tertunggak.

"Kita berusaha sebaik mungkin untuk mempercepatkan proses pembahagian pusaka dan melupuskan tunggakan yang ada di pejabat pusaka kecil," katanya.

Beliau turut memaklumkan, kes pembahagian pusaka yang tertunggak di Kelantan ialah 7,570 setakat Ogos.