Lima PPS baharu dibuka di Johor

Mangsa banjir dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air pada Ahad.
Mangsa banjir dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor menjadikan keseluruhan enam PPS di negeri itu yang menempatkan 200 mangsa banjir kilat setakat jam 4 petang Ahad.

Sebelum ini, sebuah PPS dibuka di Sekolah Agama Seri Bengkal dalam daerah Batu Pahat pada jam 8 pagi yang menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Seri Bengkal.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), sebuah lagi PPS dibuka di Batu Pahat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Peserai.

"Dua PPS dibuka di daerah Pontian iaitu di Pusat Kokurikulum Johor, Sungai Tempayan dan Sekolah Agama Kayu Ara Pasong.

"Bagi daerah Johor Bahru pula, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Raya Gelang Patah dan SK Nong Chik," menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut JPBD, sebanyak 12 kawasan di Johor dilaporkan terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat bermula pada jam 6.30 pagi.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Seri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai di Batu Pahat, Taman Dato Syed Mohd Idrus serta Kampung Baru dan Kampung Mohd Amin di Johor Bahru.

Di Pontian pula ialah Kampung Sungai Mulih, Pekan Nenas; Kampung Parit Sapran; Kampung Parit Haji Omar; Jln Mohsin, Kayu Ara Pasong; Kampung Parit Haji Siraj; Parit Lapis, Kayu Ara Pasong dan Kampung Parit Abdul Rahman. - Bernama

Artikel Berkaitan: