29 mangsa banjir di Batu Pahat dipindahkan ke dua PPS

Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, pada Ahad.
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 29 mangsa melibatkan 11 keluarga dari Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) pada Ahad.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Agama Seri Bengkal yang dibuka pada jam 8 pagi dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai yang dibuka jam 12 tengah hari.

"Kesemua mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat beberapa jam serta pertembungan air pasang," kata kenyataan itu.

APM Johor memaklumkan, selain Batu Pahat, beberapa kawasan di daerah ini turut dilanda banjir antaranya di Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri dan Tabika Kemas di Skudai Kiri.

Banjir yang berlaku di Taman Dato Syed Mohd Idrus, Galang Patah, Iskandar Puteri, pada Ahad memaksa penduduk untuk berpindah ke PPS.
Banjir yang berlaku di Taman Dato Syed Mohd Idrus, Galang Patah, Iskandar Puteri, pada Ahad memaksa penduduk untuk berpindah ke PPS.

Jelas kenyataan itu lagi, banjir turut melanda Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kapung Tiram Duku; Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.

"Tiada mangsa banjir dari Johor Bahru yang dipindahkan kerana kawasan yang dinaiki air telah surut. Namun pemantauan ke tempat kejadian dari masa ke semasa akan dilakukan," jelas APM Johor.

Dalam pada itu, APM Johor berkata, ribut berlaku di dua daerah melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong (Pontian) dan Kampung Parit Jamil, Sabah Awor (Muar).

Artikel Berkaitan: