Suspek ugut bapa saudara bekas teman wanita ditahan

PDRM
PDRM
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengugut bapa saudara bekas kekasihnya serta mahu menculik wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 22 tahun itu melakukan ugutan ketika menghubungi bapa saudara teman wanitanya berusia 35 tahun di Pangsapuri Lembah Jaya Selatan pada 15 September lalu.

"Suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana bapa saudara bekas kekasihnya mencampuri hubungan mereka hingga dia gagal memujuk wanita itu untuk kembali bersamanya.

"Pasangan tersebut telah berpisah sejak Disember 2020, namun suspek sering mengganggu dan mengugut wanita itu serta bapa saudaranya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk

Mohamad Farouk berkata, bapa saudara wanita itu bimbang akan keselamatan dirinya telah membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

"Kita telah menangkap lelaki itu di sebuah restoran yang terletak di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru pada Jumaat lalu.

"Siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara suspek dengan bekas teman wanitanya itu," jelas Mohamad Farouk.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah kesalahan lampau yang dikehendaki dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.