Rasuah Busters Parlimen Taiping ditubuhkan

Hasbullah (kiri) ketika menjawab soalan tetamu yang hadir pada Pelancaran Rasuah Busters Parlimen Taiping, di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Hasbullah (kiri) ketika menjawab soalan tetamu yang hadir pada Pelancaran Rasuah Busters Parlimen Taiping, di sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Usaha ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya rasuah dipergiatkan lagi dengan penubuhan Rasuah Busters Parlimen Taiping, di sini pada Ahad.

Digerakkan menerusi inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin, Rasuah Busters Parlimen Taiping merupakan yang pertama ditubuhkan di peringkat Parlimen di Perak.

Muhd Fadhil menjelaskan, idea penubuhan Rasuah Busters itu tercetus setelah berbincang dan mendapatkan pandangan daripada 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

"Selepas berbincang, kita setuju untuk tubuhkan Rasuah Busters di Parlimen Taiping ini bertujuan untuk memberi ruang orang ramai menyuarakan sebarang isu berkaitan rasuah selain memberi kesedaran dan pendidikan mengenainya.

"Selepas ini kita merancang beberapa program antaranya forum dan seminar kepada masyarakat selain berkunjung ke agensi-agensi berkaitan untuk memaklumkan keberadaan kami di sini," katanya kepada Sinar Harian selepas Pelancaran Rasuah Busters Parlimen Taiping, di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir menyempurnakan perasmian tersebut, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Perak, Dr Hasbullah Ashari mengalu-alukan penubuhan Rasuah Busters Parlimen Taiping itu.

Menurutnya, penglibatan beberapa NGO untuk bergabung bersama Rasuah Busters Parlimen Taiping itu diharap mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap gejala rasuah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Rasuah Busters Perak akan membantu mereka bergerak secara efektif.

"Setakat ini yang pertama di peringkat Parlimen di Perak. Sekarang kita ada di peringkat negeri, tapi inisiatif Rasuah Busters Taiping ini amat baik.

"Kita belum bincang lagi bagaimana seterusnya akan menggerakkan bersama isu rasuah di Taiping dan di Perak," katanya.