Tangani isu pelajar tinggal kampus akibat kekangan kewangan

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu serius mencari jalan segera menangani kes pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa meninggalkan kampus kerana kekangan kewangan sekali gus tidak mampu membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan harian mereka.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, bantuan kewangan mahupun material kepada pelajar terlibat dapat menyelamatkan masa depan dan potensi mereka daripada tercicir atau sia-sia.

"Bagi PN Johor, membiarkan isu ini berlarutan bakal merugikan negara dari aspek ketirisan bakat dan sumber manusia bahkan kepakaran sekiranya mereka gagal menamatkan pengajian seterusnya masuk ke alam pekerjaan.

"Kami yakin jumlah sebenar pelajar tercicir mungkin lebih ramai berbanding laporan 30,000 pelajar di universiti awam yang gagal menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Julai lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Solihan berkata, secara amnya, pelajar yang terlibat bukan sahaja dari universiti awam bahkan universiti dan pelbagai IPT swasta termasuk kolej universiti, kolej, pusat kemahiran teknikal serta institut latihan vokasional.

Jelasnya, mereka bukan sahaja gagal melunaskan yuran pengajian malah tidak mampu membayar deposit rumah sewa, tiada wang membeli makanan serta gagal membayar sewa bulanan dan kos pengangkutan.

Menurut beliau, pelajar tersebut dibebani pelbagai kos sara hidup yang tinggi khususnya bagi kampus di Lembah Klang.

Justeru katanya, PN Johor mendesak KPT memberi perhatian khusus isu itu kerana tindakan kementerian dan universiti jika hanya membuat kajian bagi mengenal pasti puncanya adalah tidak bermakna atau akan menyelesaikan masalah tersebut kecuali jika ada tindakan proaktif.

Artikel Berkaitan:

PN Johor juga khuatir ramai pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menyambung pengajian ke IPT kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran manakala biasiswa pula lewat diluluskan, katanya.

"Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana kecewanya ibu bapa serta nasib dan masa depan pelajar tercicir tersebut termasuk mereka yang berada pada tahun akhir pengajian," ujar Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu.

Beliau berkata, PN bukan berniat mahu memanipulasi atau mengeksploitasi keadaan berhubung isu itu tetapi harus diberi keutamaan untuk diselesaikan jika diberi mandat menerajui kerajaan sekali lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau menyarankan KPT berunding dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mencari kaedah pembiayaan segera atau mengambil tanggungjawab membantu kewangan pelajar terlibat memandangkan prestasi institusi itu mengutip bayaran balik kebelakangan ini adalah tinggi.

"Ketika dipengerusikan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum ini, PTPTN merekodkan prestasi kutipan bayaran balik amat memberangsangkan dan sebahagian dana itu boleh disalurkan kepada pelajar memerlukan yang rata-rata adalah Melayu," ujarnya.