Sewa rumah terlalu tinggi bebankan penuntut IPT

Kadar sewa rumah yang tinggi membebankan penuntut IPT terutama dalam kalangan keluarga B40.
Kadar sewa rumah yang tinggi membebankan penuntut IPT terutama dalam kalangan keluarga B40.
A
A
A

BARU-BARU ini tular di media sosial mengenai keluhan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sukar mendapatkan rumah sewa berhampiran kawasan kampus di Shah Alam, Selangor.

Rata-rata mereka meluahkan kekecewaan apabila pemilik rumah meletakkan deposit sehingga RM9,000. Timbul juga dakwaan penuntut tidak dibenarkan meninjau rumah sewa selagi tidak membayar wang deposit.

Difahamkan, kos sewa bagi rumah teres dan apartmen di Shah Alam mencecah RM1,200 ke atas. Malah, hampir tiada pemilik rumah di bandar raya itu sanggup meletakkan sewa sebanyak RM500 sebulan.

Jika perkara itu benar, sememangnya keadaan tersebut pasti membebankan penuntut terutama mereka dalam kalangan keluarga B40 yang masih mengharapkan bantuan bulanan daripada ibu bapa.

Pada masa sama, isu sukar mencari rumah sewa di Shah Alam turut menimbulkan persepsi negatif yang mendakwa pihak UiTM menawarkan kursus kepada penuntut tanpa memikirkan kebajikan dan masalah penempatan golongan berkenaan.

Apa pun, langkah UiTM membentuk Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa serta mewujudkan portal rumah sewa NR (https://nr.uitm.edu.my) bagi membantu memudahkan urusan penuntut mendapatkan rumah sewa harus diberi pujian.

Begitu pun, semua pihak harus melihat isu tersebut dengan minda terbuka dan mencari punca kenapa pemilik rumah sewa tergamak meletakkan deposit serta sewa yang tinggi kepada penuntut.

Adakah pemilik rumah sewa mahu mengejar keuntungan semata-mata atau trauma dengan pengalaman menyewakan premis mereka kepada golongan penuntut?

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan berita sebelum ini seperti ‘penyewa dari neraka’ kebanyakan pemilik rumah sekitar Shah Alam berkongsi pengalaman ‘ngeri’ menyewakan premis mereka kepada penuntut sama ada yang belajar di pusat pengajian tinggi awam, mahu pun swasta.

Pemilik rumah sewa kebanyakannya trauma apabila premis yang disewakan bertukar seperti ‘tongkang pecah’ dan tidak dijaga baik oleh penyewa. Mungkin itu juga antara sebab mereka meletakkan deposit terlalu tinggi.

Jadi, siapa harus dipersalahkan dalam hal itu? Pemilik rumah yang enggan ‘pisang berbuah dua kali’ lantas mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengenakan deposit tinggi atau mahasiswa yang telah memberi persepsi buruk kepada penyewa lain?