'Banjir di lapangan terbang antarabangsa jejaskan imej negeri'

Banjir kilat dilaporkan berlaku di LTAPP pada awal pagi Sabtu selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam. - Foto FB Yeoh Soon Hin, gambar kecil: Yeoh Soon Hin
Banjir kilat dilaporkan berlaku di LTAPP pada awal pagi Sabtu selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam. - Foto FB Yeoh Soon Hin, gambar kecil: Yeoh Soon Hin
A
A
A

GEORGETOWN - Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini sehingga menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas pada Sabtu perlu ditangani segera bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, semua pihak berkaitan termasuk Malaysia Airports Holdings Sdn Bhd (MAHB), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang perlu berbincang mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah tersebut.

Menurut Soon Hin, kejadian yang berlaku itu bukan hanya memalukan, malah turut memberikan kesan terhadap usaha ke arah mempromosikan pelancongan negeri.

"LTAPP adalah imej hospitaliti dan lokasi pertama Pulau Pinang untuk semua pelancong termasuk luar negara yang masuk ke negeri ini melalui pengangkutan udara. Kejadian ini amat memalukan dan ia tidak sepatutnya berlaku di lapangan terbang antarabangsa seperti LTAPP.

"Saya bekerja keras dan merancang banyak perkara dalam usaha untuk menganjurkan lebih banyak acara peringkat antarabangsa, lebih banyak penerbangan terus dan lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.

"Banjir di LTAPP seperti pagi ini (Sabtu) pasti akan menjejaskan usaha saya dalam mempromosikan Pulau Pinang selain menjejaskan imej negeri ini," ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Sabtu.

Soon Hin yang turut berkongsi beberapa keping gambar banjir di pintu masuk utama ke lapangan terbang itu berkata, beliau akan tetap meneruskan usahanya dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelancongan utama di rantau Asia.

Pada pagi Sabtu, beberapa tempat di Bayan Lepas, Bayan Baru dan Bukit Jambul dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak jam 7.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Antara kawasan yang dilanda banjir adalah Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

Selain itu, kira-kira 30 buah rumah di Kampung Binjai, Bayan Lepas turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan.

Difahamkan, kawasan kampung itu kerap dilanda banjir kilat sekiranya hujan lebat berlaku secara berterusan kerana terletak di kawasan rendah.