Lebih ramai lagi ahli Parlimen, ADUN sertai PBM: Zuraida

Zuraida (kanan) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian pejabat PBM di Taman Seri Delima, Juru pada Sabtu.
Zuraida (kanan) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian pejabat PBM di Taman Seri Delima, Juru pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijangka mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak lama lagi.

Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pengumuman itu akan dibuat pada mesyuarat agung tahunan kali pertama parti itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Oktober depan.

"Akan ada lebih ramai lagi ahli Parlimen dan ADUN yang akan bersama kita tidak lama lagi, jadi kita tunggu pengumuman mereka pada mesyuarat agung kita nanti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat PBM Pulau Pinang di Taman Seri Delima, Juru di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha; Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi; Ketua Pemuda PBM, Na’im Brundage dan Pengerusi PBM Pulau Pinang, Allan Oh.

Sebelum ini Zuraida memaklumkan tiga lagi Ahli Parlimen dan dua ADUN didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, penyertaan mereka nanti akan menjadikan tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN disandang parti itu yang akan dipertahankan pada PRU akan datang.

Ketika ini, PBM diwakili Zuraida sendiri mewakili Parlimen Ampang, selain Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Datuk Dr Mohamadin Ketapi (Lahad Datu) di Dewan Rakyat.

Lima ADUN parti itu pula adalah dua di Selangor, iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa), selain tiga di Perak iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).

Artikel Berkaitan: