Ahli Parlimen Lahad Datu sertai PBM

Mohamaddin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar mengumumkan beliau menyertai PBM di Kota Kinabalu.
Mohamaddin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar mengumumkan beliau menyertai PBM di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Selepas kira-kira dua bulan mengambil keputusan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pengumuman itu dibuat beliau sendiri dengan dihadiri oleh Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien yang juga Ahli Parlimen Julau dan Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yacob.

"Hari ini saya mengumumkan secara rasmi bahawa saya kini dan juga rakan-rakan dari Lahad Datu menyertai PBM.

"Saya juga berasa berbesar hati kerana Presiden PBM, Datuk Larry dan Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman turut serta bersama kita," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama berkata, penyertaannya itu adalah selepas menilai dan meneliti perlembagaan parti yang menjadi teras penubuhannya iaitu memperjuangkan hak dan autonomi wilayah Borneo seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Menerusi perjuangan ini kita dari Sabah memberi kerjasama sepenuhnya kepada PBM dan juga Parti Kuasa Rakyat agar dapat kita melaksanakan apa yang sebetulnya yang termaktub dalam MA63.

"Dalam situasi politik tanah air yang tidak pernah berlaku sebelumnya, saya berpendapat bahawa penyatuan kuasa-kuasa rakyat dari kedua-dua wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak mesti bekerjasama dengan Semenanjung," katanya.

Sementara itu, Larry berkata, penyertaan Mohamaddin akan disusuli oleh ahli Parlimen lain dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sudah membuat keputusan untuk di Sabah, kita akan memilih Mohamaddin menjadi Ketua PBM di Sabah, untuk mengetuai bahagian di sini," katanya.