AirAsia dinobat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia

No Image Caption
A
A
A

AIRASIA telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2022 untuk tahun ke-13 berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A,Tony Fernandes berkata, tahun ini terasa lebih istimewa kerana para pengundi terus menyokong syarikat walaupun telah melalui tempoh yang amat sukar berikutan Covid-19.

"Kami akan terus terbang tinggi. Kami telah bertahan, membina semula perniagaan dan kini sedang pulih untuk terus menawarkan lebih nilai dan pilihan kepada semua tetamu kami,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengucapkan tahniah atas pencapaian tersebut, menyatakan AirAsia bukan sahaja telah memacu dan merevolusikan perjalanan udara dengan tambang rendah di Malaysia dan ASEAN, malah memberi sumbangan besar kepada industri pelancongan dan sektor ekonomi negara.

"Ini sememangnya satu pencapaian yang hebat bukan sahaja untuk AirAsia, tetapi juga untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata, AirAsia mentakrifkan semula perjalanan udara dengan tambang rendah di Asia dan walaupun telah menghadapi cabaran pasca-pandemik baru-baru ini, ia terus menjadi pilihan pelanggan.

"Memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-13 adalah satu pencapaian yang menakjubkan dan kami mengucapkan tahniah kepada semua ahli keluarga AirAsia atas pencapaian ini,” katanya.

Sebagai anugerah penanda aras global bagi kecemerlangan syarikat penerbangan, Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2022 menerima undian daripada 14.3 juta pelanggan yang terdiri daripada lebih 100 warganegara yang mengundi lebih 300 syarikat penerbangan dari September 2021 hingga Ogos 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: