Zii Jia tergelincir daripada kelompok 10 terbaik dunia

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TERSINGKIR awal dalam tiga kejohanan berturut-turut menyaksikan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia tergelincir daripada kedudukan 10 terbaik dunia hari ini.

Berdasarkan kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia yang sebelum ini menghuni tangga ke-10 dunia turun satu anak tangga selepas dipintas pemain pemain China, Li Shi Feng untuk meletakkan beliau di kedudukan ke-11 dunia.

Perseorangan Denmark Viktor Exelsen pula mengekalkan statusnya selaku pemain nombor satu dunia.

Zii Jia merupakan antara 15 atlet tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) telah mempamerkan aksi mengecewakan sejak kebelakangan ini apabila tersingkir pada pusingan kedua Masters Malaysia 2023 selepas tewas di tangan pemain Taiwan Li Chun-Yi 19-21, 21-16, 15-21 akhir Mei lepas.

Pada Terbuka Singapura minggu lepas, pemain kelahiran Kedah itu pulang awal selepas tunduk kepada pemain China, Weng Hong Yang 20-22, 21-16, 19-21 seawal pusingan pertama.

Zii Jia hari ini sekali lagi tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia 2023 apabila dibenam mudah pemain India Lakshya Sen 21-17, 21-13.

Satu lagi perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kekal di kedudukan ke-21 dunia.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik memanjat satu anak tangga daripada keempat dunia kepada ketiga.

Juara dunia 2022 itu menampilkan aksi memberangsangkan pada Terbuka Singapura 2022 apabila melangkah ke separuh akhir namun tewas di tangan pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang 16-21, 21-15, 17-21. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Zii Jia balik awal lagi

Nasihat otai badminton buat Zii Jia

Pening punca Zii Jia tumbang