KKM terima 103 aduan fasiliti tawar perkhidmatan estetik

Khairy Jamaluddin ketika berucap merasmikan Asia Dermatology & Aesthetic Medicine Summit (ADAMS) 2022, pada Sabtu. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin ketika berucap merasmikan Asia Dermatology & Aesthetic Medicine Summit (ADAMS) 2022, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima 103 aduan mengenai fasiliti yang menawarkan perkhidmatan estetik antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, laporan itu melibatkan kesan advers termasuk kecacatan dan kematian akibat prosedur estetik yang dilakukan oleh pengamal dan bukan pengamal perubatan yang tidak cekap.

Beliau berkata, prosedur perubatan estetik, terutama yang invasif dan invasif minimum hanya boleh dijalankan oleh pengamal perubatan berkelayakan di premis yang berdaftar atau berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmataan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan KKM telah melaksanakan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memahami situasi dengan lebih jelas dan untuk membangunkan peraturan yang akan melindungi orang awam serta tidak menghalang perkembangan industri ini.

"Mengawal selia industri ini memberi faedah memandangkan pengamal tidak sepatutnya dibenarkan melanggar prosedur perubatan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Dermatologi dan Perubatan Estetik Asia (ADAMS) 2022 yang julung kali dianjurkan, pada Sabtu.

Sementara itu, bercakap pada sidang media, Khairy Jamaluddin berkata, KKM akan mencadangkan konsesi ditenderkan bagi pembinaan tempat letak kereta bertingkat di hospital yang memerlukan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ketika ini kementerian itu sedang membuat pemetaan hospital yang berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta kritikal seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang.

"Apabila pemetaan (selesai) dibuat, kita akan bincang dengan EPU (Unit Perancang Ekonomi) untuk pembinaan. Sebab itu adalah satu caranya untuk kita memaksimumkan kawasan terhad dengan kemudahan tempat letak kereta bertingkat seperti yang kita buat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu lain, Khairy Jamaluddin berkata, KKM tidak merancang mengkaji semula tempoh kuarantin wajib Covid-19 selama lima hari dan hanya akan berbuat demikian apabila penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berakhir hujung tahun ini.

"Sekarang kita semua bergantung pada integriti masing-masing. Apabila kita masuk ke fasa peralihan ke endemik, kita serah kepada kebertanggungjawaban individu dan solidariti komuniti. Jadi inilah pendekatan yang telah kita persetujui dan kita mesti jujur dengan apa sahaja laporan yang kita buat,” katanya. - Bernama