Rasuah tidak terhad kepada kerajaan dominasi Melayu: Lam Thye

Lam Thye - Foto Sinar Harian/ MUHAMMAD SYARIN KHAIRI
Lam Thye - Foto Sinar Harian/ MUHAMMAD SYARIN KHAIRI
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat harus sedar berkenaan hakikat bahawa rasuah tidak hanya terhad kepada kerajaan didominasi pimpinan Melayu sahaja, kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, potensi amalan rasuah itu hadir daripada pelbagai pihak, merentasi semua lapisan masyarakat dan jurang jantina dan kaum.

Amalan rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Orang yang menawarkan rasuah sama bersalahnya dengan orang yang menuntutnya.

“Kesudahannya ialah peningkatan kos perkhidmatan kepada rakyat yang setia membayar cukai tetapi tidak mendapat faedah.

“Oleh itu penting untuk membawa kedua-dua pihak ke muka pengadilan kerana ia memerlukan dua pihak untuk saling bekerjasama dalam menangani isu rasuah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan isu rasuah semasa buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, selain menggunakan kuasa penuh undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam amalan rasuah, masyarakat juga mesti menerapkan nilai sejagat yang baik dan kukuh dalam diri pemimpin masa depan negara.

“Kita mesti bermula di sekolah. Kita mesti mengajar anak-anak kita sejak usia muda, mengenai kepentingan dan nilai kejujuran dan integriti serta akibat yang boleh berlaku daripada aktiviti penipuan dan ketidakjujuran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, amaran dititahkan Sultan Nazrin mengenai ancaman rasuah terhadap negara adalah sesuatu yang sangat berani serta tepat pada masanya.

Katanya, ia seakan-akan suatu tindakan yang menyedarkan negara bahawa jika trend rasuah tidak diatasi, ia boleh membawa kita ke jalan berliku yang dekat kepada kehancuran.

“Seperti yang baginda katakan, rasuah adalah salah satu daripada punca orang ramai yang dinafikan akses mereka dalam penyampaian perkhidmatan, pengagihan kekayaan yang tidak adil dan ketirisan sumber negara yang tidak dapat dipulihkan.

“Ini akan membawa kesan kepada ekonomi, kehilangan keyakinan pelabur asing, dan ketidakstabilan politik, yang menyebabkan berlakunya kegagalan,” jelas beliau.