Warga emas cemas kereta terbabas masuk longkang

Kenderaan dinaiki sepasang warga emas terbabas masuk ke dalam longkang. - Foto JBPM.
Kenderaan dinaiki sepasang warga emas terbabas masuk ke dalam longkang. - Foto JBPM.
A
A
A

KAJANG - Sepasang suami isteri warga emas mengharungi detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang sedalam 1.5 meter di Jalan Sungai Jai, Kampung Sungai Jai, Semenyih di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Semenyih dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 pagi.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dari Beranang menghala ke Sungai Jai dinaiki dua warga emas telah terbabas ke dalam longkang.

"Kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kenderaan terbabit dan telah dikeluarkan oleh pihak bomba yang tiba di lokasi pada jam 9.53 pagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norazam berkata, kedua-dua warga emas berusia 72 dan 70 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: