Ekstradisi 'Fat Leonard' mungkin ambil masa

Francis ditahan pihak Interpol Venezuela di Caracas pada Selasa lalu dan dipercayai mahu melarikan diri ke Rusia. - AFP
Francis ditahan pihak Interpol Venezuela di Caracas pada Selasa lalu dan dipercayai mahu melarikan diri ke Rusia. - AFP
A
A
A

CARACAS - Amerika Syarikat (AS) berdepan cabaran sukar untuk membawa ahli perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis atau dikenali sebagai 'Fat Leonard' yang ditahan di Venezuela kembali ke negara itu.

Biar pun Washington dan Caracas mempunyai perjanjian ekstradisi yang terhad, pentadbiran Presiden Joe Biden tidak mengiktiraf kerajaan sosialis pimpinan Presiden Nicolas Maduro.

Malah, AS yang sebelum ini mengenakan sekatan ke atas Venezuela juga secara rasmi tidak mempunyai kedutaan di negara berkenaan.

Kerjasama penguatkuasaan undang-undang antara kedua-dua negara jarang berlaku, selain itu masih tiada maklumat segera mengenai bilakah Francis mungkin diekstradisi ke AS.

Berita penahanan Francis dilaporkan sehari sebelum tarikh dia dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah dan konspirasi di mahkamah persekutuan San Diego.

Selama lebih 10 tahun, Francis mendalangi pelbagai skim rasuah, di mana pegawai Tentera Laut AS diberi hadiah, wang tunai dan seks, apabila mereka membantu perniagaan perkhidmatan perkapalan Francis yang mengawal pelabuhan di seluruh Asia Tenggara.

Skim itu merompak sekurang-kurangnya AS$35 juta (RM160 juta) wang pembayar cukai dan membawa kepada sabitan hampir 36 pegawai tentera laut AS.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Interpol Venezuela, Carlos Garate Rondon dalam satu kenyataan di Instagram memberitahu bahawa Francis mahu menghapuskan jejaknya dengan lari ke Rusia.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rondon, Francis memilih Rusia kerana percaya pihak berkuasa AS 'tidak boleh menyentuhnya' jika dia mendarat di negara berkenaan.

Francis berjaya ditahan semula pada Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di luar Caracas selepas berjaya menyeberangi sempadan Mexico dan Cuba.

Tambah Rondon, Francis akan diserahkan kepada pihak berkuasa kehakiman negara itu untuk memulakan prosiding ekstradisi.

Sementara itu, Greg Rinckey, bekas peguam tentera berkata, beliau percaya Francis dalam usaha untuk melepaskan diri daripada bidang kuasa Perkhidmatan Marsyal AS dengan bermain taktik muslihat menggunakan beberapa negara.

"Nampaknya mereka menangkapnya tepat pada masanya. Jika dia berjaya ke Rusia, saya tidak percaya Rusia akan menyerahkannya kepada kami," kata Rinckey.

Sebelum ini, Francis ditahan di sebuah hotel di San Diego dalam satu serbuan pihak berkuasa persekutuan pada 2013.

Selepas membuat pengakuan bersalah dan berdepan beberapa masalah kesihatan termasuk kanser buah pinggang, Francis dibebaskan atas faktor kesihatan dan dikenakan tahanan rumah sejak 2018.

Namun, Francis melarikan diri pada awal bulan ini selepas memotong alat pengawasan GPS yang dipasang pada bahagian buku lalinya. - Agensi