IVL misi UMK lahir usahawan inovasi

Penubuhan IVL mengumpulkan idea dalam misi melahirkan usahawan berinovasi tinggi.
Penubuhan IVL mengumpulkan idea dalam misi melahirkan usahawan berinovasi tinggi.
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menubuhkan Ignite Venture Lab (IVL) dalam misi melahirkan usahawan berteraskan inovasi pada masa depan.

Ketua Unit IVL, Dr Hana Yazmeen Hapiz berkata, makmal inovasi itu bertujuan menyediakan ruang inovatif, fasiliti dan latihan bagi melancarkan permulaan syarikat oleh pelajar atau usahawan dalam pelbagai industri, termasuk keusahawanan sosial, pertanian dan teknologi pengguna.

Katanya, penubuhan IVL sebagai pemacu utama untuk menanamkan pemikiran inovatif dalam minda usahawan syarikat pemula di UMK dengan menitikberatkan kepentingan atribut inovasi dalam produk keluaran syarikat pemula UMK.

“IVL menyahut seruan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dalam memperkukuh ekosistem inovasi pada peringkat nasional bagi menyokong potensi sebenar permulaan ke arah industri masa depan melalui kluster keusahawanan sedia ada di UMK.

“Persediaan ini bagi memenuhi keperluan khusus syarikat pemula yang didorong oleh inovasi dan teknologi tinggi,” katanya.

Dr Hana Yazmeen berkata, berdasarkan laporan oleh European Commission (EC), di Eropah, sebanyak 756,000 pekerjaan dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tidak diisi pada tahun 2020.

Katanya, jumlah itu dijangka meningkat menjelang Revolusi Industri 4.0 kerana penekanan pekerjaan yang literasi digital selain perkembangan pasaran produk berasaskan teknologi.

“IVL komited terhadap usaha pendigitalan dan kemajuan teknologi melalui kerjasama strategik bersama agensi berasaskan inovasi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) untuk membina rangkaian profesional serta global.

Artikel Berkaitan:

“IVL menggalakkan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), akademik serta agensi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengkomersialkan inovasi mereka,” katanya.