Berpeluh tolak motosikal lebih 4km

Lebih 300 penunggang motosikal ditahan dibawa ke Unit Penguatkuasaan Trafik, Jalan Chamberlain untuk pemeriksaan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.
Lebih 300 penunggang motosikal ditahan dibawa ke Unit Penguatkuasaan Trafik, Jalan Chamberlain untuk pemeriksaan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.
A
A
A

IPOH - Lebih 300 penunggang motosikal 'berpeluh' kerana terpaksa menolak motosikal masing-masing lebih empat kilometer selepas ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di Jalan Sultan Nazrin Shah, berhampiran Hentian Limau Tambun di sini, awal pagi tadi.

Menerusi operasi yang dijalankan 46 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu, seramai 582 individu dan 325 motosikal diperiksa.

Operasi bermula jam 1 pagi itu menyaksikan semua yang ditahan menolak motosikal masing-masing ke Unit Penguatkuasaan Trafik, Jalan Chamberlain untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, tujuh lelaki termasuk seorang tentera dan pelajar Tingkatan Lima ditahan selepas didapati menunggang secara berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Pemantauan pada jam 4 pagi itu, sekumpulan penunggang motosikal terdiri mereka berusia 17 hingga 25 tahun telah menunggang laju dengan membongkok badan ke depan, bersaing sesama sendiri dengan melakukan tunggangan secara bersilang-silang dari arah Simpang Pulai dan Ipoh.

"Justeru itu, Ops Tutup telah menghasilkan tangkapan tujuh lelaki dan telah dibawa ke Unit Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan sembilan lelaki berusia 18 hingga 37 tahun yang didapati positif dalam ujian saringan air kencing.

"Tujuh lelaki didapati positif methamphetamin manakala dua lagi positif dadah jenis ganja THC atau tetra hydrocannibol.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, kita menyita 10 motosikal dan mengeluarkan 301 saman atas 319 kesalahan antaranya membuat halangan lalu lintas, tidak mempunyai lesen memandu, ubahsuai motosikal dan melanggar lampu merah," katanya.