'Rasuah di Malaysia berada pada skala membahayakan'

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, berikutan itu, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan 'gajah' rasuah di hadapan mata.

"Kita wajib bersifat berani mengakui realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan.

"Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berucap melancaran buku karya tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan bertajuk Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika' di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Buku itu diterbitkan EMIR Research dan Sinar Harian bertindak sebagai tuan rumah majlis pelancaran berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Sultan Nazrin menegaskan, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar- uarkan dalam media sosial hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

"Selain itu, daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International (TI), Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, kepada kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50," titahnya.

Baginda bertitah, sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan perkara tersebut akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Titah Sultan Nazrin, penilaian keadaan rasuah wajib dilakukan secara jujur, ikhlas, objektif, berfakta yang boleh dijadikan bukti bahawa semua pihak di negara ini sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.

"Ia kerana rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

''Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara," titah baginda lagi.

Sultan Nazrin menambah, banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan.

Justeru itu, baginda bertitah, sifat responsif dan segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Titahnya, rasuah ialah penyakit dalam masyarakat bersifat barah dan menjalar sedikit demi sedikit bagi merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya boleh melumpuhkan dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan.