Banjir: Premis awam, sekolah berasrama digunakan sebagai PPS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah berasrama dan premis awam yang mempunyai fasiliti lengkap dan selesa akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir berlaku pada akhir tahun ini.

Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira soal keselesaan dan kebajikan keseluruhan rakyat.

“Bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan, Arahan Majlis Keselamatan Negara 20 telah menetapkan bahawa pegawai daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mempunyai kuasa untuk mengenal pasti dan mengisytiharkan mana-mana premis awam dan sekolah terutamanya sekolah berasrama untuk dijadikan sebagai PPS,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada Rabu sebelum itu telah berbincang mengenai kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Mohd Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara turut meminta semua agensi kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk sentiasa bekerjasama dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang bencana.

“Ini bagi memastikan Keluarga Malaysia yang terkesan mendapat penempatan yang selesa, perlindungan yang selamat serta kebajikan yang terjamin sepanjang berada di PPS,” katanya.

Artikel Berkaitan: