Pesara kerajaan ditahan disyaki salah guna kuasa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada Selasa selepas disyaki menyalahgunakan jawatannya dalam urusan pengambilan tanah pada 2005.

Sumber berkata, lelaki berusia 69 tahun yang pernah bertugas di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah di negeri ini ditahan kira-kira jam 3 petang di pejabat SPRM Kedah di sini.

Menurut beliau, bagaimanapun suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin atas faktor umur dan kesihatan.

“Pesara kerajaan terbabit dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi dalam tahun 2005.

“Ia dilakukan bagi mendapatkan suapan iaitu sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi, Kedah untuk dirinya sendiri ketika masih dalam perkhidmatan,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan: