Jual minyak masak dalam talian boleh dikenakan tindakan

KPDNHEP bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang bagi membanteras penjualan barang kawalan, khususnya minyak masak secara dalam talian - Foto Bernama. Gambar kecil: Azman
KPDNHEP bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang bagi membanteras penjualan barang kawalan, khususnya minyak masak secara dalam talian - Foto Bernama. Gambar kecil: Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang bagi membanteras penjualan barang kawalan, khususnya minyak masak secara dalam talian.

Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, berdasarkan statistik sejak Januari hingga Isnin, 55 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara manakala sembilan aduan berkaitan diterima sepanjang tempoh itu.

Tiga tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan RM1,564.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah berurusniaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat tidak dilesenkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP sentiasa memantau aktiviti jualan barang kawalan menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform untuk membanteras kegiatan berkenaan.

"Hasil kerjasama terbabit, 121 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah diturunkan pada tahun ini sehingga 19 September," katanya.

Pada masa sama, Azman turut memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan itu dan tindakan tegas, termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) akan diambil.

Katanya, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda mencecah RM1 juta untuk individu perseorangan dan penjara sehingga tiga tahun manakala RM3 juta, penjara atau kedua-duanya sekali bagi syarikat.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000," ujar beliau.