Maritim tahan enam nelayan Vietnam tangkap ikan di Kudat

Bot dinaiki nelayan Vietnam ditahan di perairan Simpang Mengayau, Kudat.
Bot dinaiki nelayan Vietnam ditahan di perairan Simpang Mengayau, Kudat.
A
A
A

KUDAT - Enam nelayan warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Op Pluto Timur di Simpang Mengayau, kerana disyaki menangkap ikan di kawasan perairan negara ini, pada Isnin.

Dalam kejadian pada jam 2.27 petang itu, enam pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 23 hingga 53 tahun terbabit yang menaiki sebuah bot nelayan ditahan selepas disyaki cuba melakukan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot nelayan terbabit dikesan oleh kapal KMI KHLAS ketika sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat enam kru termasuk tekong berada di dalam vesel berkenaan dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat alat menangkap ikan jenis rawai dalam bot berkenaan dan mereka disyaki cuba melakukan aktiviti menangkap ikan," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Tambahnya, bot bersama kru bot diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1963 kerana tiada pengenalan diri ketika diperiksa dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985/63 iaitu menangkap ikan di perairan negara serta Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana tidak memaklumkan kemasukan mereka ke perairan negara.

Artikel Berkaitan: