Runtuhan kuari: Isteri harap suami ditemui selamat

Wak Uda (tengah) ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika ditemui di lokasi kejadian runtuhan batu di Simpang Pulai.
Wak Uda (tengah) ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika ditemui di lokasi kejadian runtuhan batu di Simpang Pulai.
A
A
A

IPOH - Ahli keluarga mengharapkan Itam Bah Lasoh, 43, yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Selasa ditemui dalam keadaan selamat.

Isteri mangsa, Wak Uda Bah Kim, 41, berkata, kejadian itu diketahui menerusi bapanya, Bah Kim Kipak, 64, yang tergesa-gesa pulang ke rumah mereka di Kampung Jelintoh, Gopeng di sini.

"Ayah balik meminta saya untuk pergi ke sini (tempat kerja suami) tetapi dia tidak beritahu apa-apa pun. Hati saya mula tidak tenteram tetapi tidak mahu fikirkan yang buruk.

"Apabila diberitahu keadaan sebenar, hati saya luluh dan serahkan kepada Tuhan. Saya mengharapkan suami segera ditemui dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui berhampiran lokasi runtuhan di sini.

Menurutnya, kesemua empat anaknya berusia dua hingga 15 tahun telah dimaklumkan mengenai kejadian menimpa bapa mereka.

"Anak-anak pun sudah tahu dan mereka menangis risaukan keselamatan bapa mereka. Saya tidak benarkan anak-anak ikut ke sini kerana mereka masih kecil.

"Saya masih lagi tidak percaya dengan kejadian ini. Kali terakhir jumpa ketika sarapan bersama jam 7 pagi sebelum suami keluar bekerja dengan menaiki motosikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Wak Uda bersama suaminya, Itam. - Foto Ihsan pembaca
Gambar kenangan Wak Uda bersama suaminya, Itam. - Foto Ihsan pembaca

Sementara itu, seorang pekerja kuari dikenali sebagai Razali berkata, bunyi runtuhan batu yang berlaku itu seperti bunyi letupan.

"Saya berada di bahagian atas terdengar letupan tetapi pelik kerana aktiviti itu sudah dilakukan sebelum ini. Bunyi itu kedengaran hanya sekali sahaja.

"Apabila menyaksikan runtuhan sebegitu hanya memikirkan kawan yang berada di bawah. Masa itu mereka sedang bekerja," katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi itu, selain Itam, seorang mangsa dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu.

Dua pekerja kuari masing-masing berusia 35 dan 38 tahun pula terselamat namun mengalami kecederaan.