Atlet Terengganu gagal doping, ambil ubat lelah, tahan sakit

Kedua-dua atlet yang gagal doping tersebut terpaksa mengambil ubatan yang dibeli di sebuah farmasi di Cameron Highlands selepas salah seorang daripada mereka mengalami lelah dan juga kecederaan bahu. - Gambar hiasan
Kedua-dua atlet yang gagal doping tersebut terpaksa mengambil ubatan yang dibeli di sebuah farmasi di Cameron Highlands selepas salah seorang daripada mereka mengalami lelah dan juga kecederaan bahu. - Gambar hiasan
A
A
A

DUA atlet Terengganu yang gagal dalam ujian doping sebelum ini berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan ketika menjalani latihan pusat di Cameron Highlands pada Ogos lalu sebagai persiapan ke Sukan Malaysia (Sukma) MSM 2022.

Presiden Angkat Berat Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustafa menjelaskan, kedua-dua atlet tersebut terpaksa mengambil ubatan yang dibeli di sebuah farmasi di Cameron Highlands selepas salah seorang daripada mereka mengalami lelah dan juga kecederaan bahu.

“Atlet yang gagal dalam ujian doping ketika menjalani latihan di Cameron Highlands dan salah seorang dari mereka mengalami lelah maknanya dia terpaksa mengambil ubat.

“Bila kita tahu mereka positif doping kita lihat jenama ubatan yang mereka ambil terdapat bahan yang menyebabkan mereka gagal doping.

“Bahan tersebut menyebabkan lubang pernafasan mereka terbuka dan dalam peraturan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) antara bahan yang dilarang. Jadi, kita sedar kesilapan tersebut.

“Sebenarnya, atlet mengambil ubatan tersebut untuk kesihatan tetapi masyarakat di luar sana lihat atlet kita ambil dadah tetapi bukan. Saya akui, dua atlet tersebut kecewa kerana mereka melakukan persiapan selama empat tahun untuk ke Sukma edisi ke-20 ini dan lebih sedih ini adalah penampilan terakhir mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum ini pada Isnin, tiga atlet daripada dua negeri iaitu Terengganu dan Perlis terlibat dengan penggunaan doping sekali gus memaksa Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengundurkan diri' daripada Sukma 2022 berdasarkan ketetapan yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.

Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan ataupun persatuan negeri yang positif doping, maka penyertaan atlet berkenaan dan juga atlet lain dalam ahli gabungan mahupun persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shafaruddin turut mengakui pihaknya akur dengan keputusan doping yang dikeluarkan Adamas dan tidak mahu menguji sampel B.

“Kita telah jelaskan jenis ubat yang mereka ambil dan tiada keperluan untuk menguji sampel B.

Atlet juga di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) jadi saya harap akan ada perbincangan seterusnya demi masa depan atlet ini,” tambahnya.