Polis tidak tutup kes culik Mohamad Aiman Zafri

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan tidak pernah menutup siasatan kes kehilangan seorang lelaki, Mohamad Aiman Zafri, 29, yang dipercayai dibawa lari ke Thailand oleh sekumpulan lelaki pada Julai 2017.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis sedang berusaha mencari bukti melalui beberapa tangkapan.

"Bagaimanapun, masih ada petunjuk dan bukti baharu yang dapat membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan media di sini, pada Selasa.

Kisah penculikan Mohamad Aiman pernah mendapat liputan di media pada 2017.

Mohamad Aiman dilaporkan dibawa lari oleh kumpulan penjenayah kira-kira jam 11.30 malam di Jalan Taman Maju di sini pada 5 Julai 2017 ketika bersama isterinya pulang dari bekerja.

Seminggu selepas itu, kumpulan terbabit meminta wang tebusan berjumlah RM50,000 namun keluarganya hanya dapat membayar RM22,000.

Ibu lelaki itu, Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, pada Isnin masih berharap kepulangan anaknya dan percaya, Mohd Aiman masih hidup.

Justeru, Muhamad Zaki memohon keluarga dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya berhubung dengan polis di hotline Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan di talian 09-7455622 atau boleh salurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan bersendirian kerana boleh mengundang bahaya selain mengganggu perkembangan siasatan.