Sukma 2022: Skuad bola sepak Pulau Pinang idam mara ke final

Pasukan bola sepak Pulau Pinang.
Pasukan bola sepak Pulau Pinang.
A
A
A

SKUAD bola sepak Pulau Pinang enggan mahu kejayaan mara ke separuh akhir temasya Sukma MSN 2022, hanya terhenti di situ sahaja.

Sebaliknya jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mahu melangkah lebih jauh dengan menyasarkan untuk ke perlawanan akhir dalam cara bola sepak.

Justeru beliau dan barisan kejurulatihannya kini sedang giat merencanakan percaturan dan strategi lebih baik bagi mengatasi pasukan Wilayah Persekutuan (WP) dalam aksi separuh akhir, esok.

“Ini satu pengalaman manis sebagai jurulatih yang baharu dan saya gembira dengan kejayaan mara sehingga ke separuh akhir. Saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pemain melayakkan diri ke final.

“Kita sudah sampai ke separuh akhir, jadi apa gunanya kalau hanya berhenti di separuh akhir dan sudah tentu kami mengimpikan untuk ke perlawanan akhir.

"Saya akan sediakan pasukan dengan perancangan yang terbaik untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Pada Isnin, skuad Pulau Pinang mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Kelantan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila aksi 120 minit berakhir dengan keputusan seri, 2-2.

Skuad WP pula mara selepas menundukkan Johor 5-4 juga menerusi sepakan penalti selepas masing-masing terikat 1-1.

Artikel Berkaitan:

Mengulas berkenaan perlawanan suku akhir itu, Akmal mengakui terdapat kesilapan yang perlu diperbaiki sebelum menentang WP pada peringkat separuh akhir pada Rabu.

Justeru Akmal berharap barisan pemainnya dapat mengekalkan momentum kemenangan tersebut sambil mengingatkan mereka agar tidak pandang rendah dengan kebolehan dengan lawan mereka memandangkan WP bukanlah pasukan sebarangan selepas mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir.

“Masih ada kesilapan yang perlu diperbaiki dalam masa sehari ini sebelum turun bagi aksi separuh akhir. Perlawanan separuh akhir ini sudah pasti menjanjikan satu lagi aksi yang cukup sukar buat kami.

“Tetapi saya lihat pemain sudah bersedia cuma saya perlu menilai terlebih dahulu keadaan pemain yang sesuai dan mampu untuk diturunkan," katanya.