88 babi dijangkiti ASF dilupuskan

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - Sebanyak 88 babi yang dijangkiti demam babi Afrika atau African swine fever (ASF) di ladang ternakan komersial di Kerian telah dilupuskan pada Selasa.

Tindakan pelupusan itu dibuat mengikut piawaian pelupusan yang ketat dan terkawal sebagai satu tindakan memperketatkan biosekuriti ladang.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, pelupusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kadar pengeluaran haiwan berkenaan.

"Tindakan pelupusan segera ke atas baki populasi babi di ladang dijangkiti ASF selesai pada hari ini merangkumi 88 ekor.

"Kadar pengeluaran tidak mengalami impak yang besar hasil disebabkan proses pelupusan yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, wabak berkenaan adalah terkawal dan jangkitan disahkan hanya berlaku di daerah Kerian.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak panik memandangkan penyakit ASF tidak berjangkit pada manusia.

"Buat masa ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak telah melaksanakan beberapa tindakan berbentuk kawalan dan pencegahan rebakan penyakit ASF.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuklah tindakan sita ke atas ladang dijangkiti daripada sebarang pergerakan keluar masuk babi dan kenderaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JPV telah mengesan jangkitan ASF di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, melalui ujian tindak balas rantaian polimer (PCR) yang dijalankan Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh pada Sabtu dan Ahad lepas.

Antara tindakan kawalan dibuat adalah memperketatkan syarat pindah babi dan produk babi dari negeri Perak ke seluruh Semenanjung Malaysia.