Ladang babi ternak ayam diberi notis

DVS mengeluarkan notis pengosongan kandang, penutupan dan pemberhentian operasi terhadap sebuah ladang babi di Pulau Pinang yang menternak ayam pedaging di kawasan sama.
DVS mengeluarkan notis pengosongan kandang, penutupan dan pemberhentian operasi terhadap sebuah ladang babi di Pulau Pinang yang menternak ayam pedaging di kawasan sama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengeluarkan notis pengosongan kandang, penutupan dan pemberhentian operasi terhadap sebuah ladang babi di Pulau Pinang yang menternak ayam pedaging di kawasan sama.

DVS menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan kompaun RM7,500 atau denda RM30,000 atau penjara tiga tahun tertakluk kepada timbalan pendakwa raya turut dikeluarkan di bawah Enakmen Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2016.

Tindakan itu diambil selepas ladang babi terbabit didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, iaitu Peraturan 19 (1), yang menyatakan bahawa semua spesis haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.

"Ladang terbabit berdaftar dengan DVS tetapi tidak mempunyai lesen untuk beroperasi kerana tidak mematuhi peraturan di bawah pelesenan yang menetapkan semua ladang babi perlu menaik taraf kepada sistem kandang tertutup dan zero discharge iaitu tiada sisa kumbahan terlepas ke parit awam," kata jabatan itu.

Satu notis arahan turut dikeluarkan kepada pemilik ladang untuk mengosongkan ayam pedaging dari ladang babi berkenaan dalam tempoh tujuh hari.

"Melalui operasi dijalankan, DVS mendapati ayam pedaging hidup yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual

di pasaran bukan Islam serta tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain," kata DVS.

Tegas jabatan itu, bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang, semua ladang babi akan diperiksa bagi memastikan tiada spesis haiwan dan unggas diternak secara komersial di semua ladang berkenaan.

"DVS turut akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua (pengusaha) ladang babi agar mematuhi peraturan pelesenan ternakan terbabit," jelasnya.

Dalam pada itu, DVS memohon supaya penyebaran video yang tular dihentikan bagi mengelakkan kerisauan dalam kalangan orang awam.

Sejak Ahad lalu, tular video berdurasi 23 saat yang memaparkan sebaris kandang ayam diletakkan berdekatan dengan kandang babi di lokasi tersebut.