Rumah, kedai makan rosak dilanda ribut di Besut

Keadaan bumbung dua buah warung di bandar Jertih yang rosak selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada Isnin. - Foto Bernama
Keadaan bumbung dua buah warung di bandar Jertih yang rosak selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Lebih 60 premis termasuk kediaman dan kedai makan di sekitar Jertih dan Hulu Besut dekat sini, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu kebanyakan premis mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kuat.

Seorang pemilik kedai, Wan Yuslina Wan Yusof, 48, berkata, kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat ketika dia sedang mengemas warungnya, selepas menutup operasi.

"Saya berada seorang diri di bahagian dapur kedai, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung dapur sebelum ia terangkat diterbangkan angin, keadaan berlaku sangat pantas.

"Saya keluar menyelamatkan diri dan kedai makan yang terletak bersebelahan turut mengalami nasib sama,” katanya yang menyewa premis Majlis Daerah Besut (MDB) di bandar ini kepada Bernama pada Selasa.

Sementara itu, menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad, lebih 50 buah rumah di beberapa kampung di kawasan Hulu Besut mengalami kerosakan dalam kejadian sama.

"Dua kampung yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah di Kampung Darau dan Lepan Kejor. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bahagian bumbung, namun tidak ada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Mat Daik berkata, pihaknya telah turun padang meninjau kerosakan rumah dan kedai terlibat dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan untuk membaiki kerosakan premis tersebut.

Katanya, kejadian semalam adalah kali kedua dan yang terburuk berlaku di Hulu Besut pada tahun ini, selepas kali pertama kejadian pada Julai lalu menyebabkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: