Pelajar maut, rakan cedera nahas tiga kenderaan

Keadaan motosikal mangsa dalam kejadian kemalangan Jalan Wakaf Stan awal pagi Isnin.Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa dalam kejadian kemalangan Jalan Wakaf Stan awal pagi Isnin.Foto ihsan PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Wakaf Stan di sini awal pagi Isnin.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.30 tengah malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas makan malam bersama rakan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, Ammar Azhar, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda C70 dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Tok Kenali ke arah Binjai melalui Jalan Wakaf Stan.

Keadaan motosikal mangsa kemalangan di Jalan Wakaf Stan awal pagi Isnin. Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa kemalangan di Jalan Wakaf Stan awal pagi Isnin. Foto ihsan PDRM

"Rakan mangsa yang berusia 14 tahun yang menunggang Yamaha Y15ZR turut melalui jalan sama.

"Ketika tiba di lokasi, tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun bergerak memasuki laluan utama secara mengejut," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, akibat jarak terlalu dekat, dua pelajar terbabit tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian pintu hadapan kereta itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua remaja itu terjatuh dan mengalami kecederaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Keadaan bahagian pintu hadapan kereta yang remuk dalam kejadian itu. Foto ihsan PDRM
Keadaan bahagian pintu hadapan kereta yang remuk dalam kejadian itu. Foto ihsan PDRM